Ogy Selesa Hidup Solo

on Sunday 6 May 2012

Penampilan Ogy Ahmad Daud sebagai pengacara Melodi. --foto THESTAR Oleh FAIHAN GHANI 
PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara popular, Fauziah Datuk Ahmad Daud atau Ogy mengakui dia berasa selesa hidup solo sejak sembilan tahun penceraiannya dengan pelakon Eman Manan.
Ogy berkata, buat masa ini, dia gembira dengan kehidupannya yang sibuk dengan jadual kerja selain menjaga anak angkatnya yang bernama Nur Aishah Aminah.
"Susah untuk saya bercakap tentang jodoh ini, jika menidakkan, dah macam lawan kuasa Tuhan pula. Dan bila kata 'ya saya ingin kahwin', bunyi seperti beria-ria.
"Apa-apa pun saya selesa dengan kehidupan sekarang ini. Tambah pula melayan karenah Aminah yang aktif, saya bahagia," katanya yang ditemui selepas mengacarakan program gosip hiburan, Melodi, secara langsung di sini, Ahad.
Ditanya, adakah Ogy pernah didekati oleh mana-mana lelaki, katanya belum ada lagi yang cuba untuk mendekatinya.
"Mungkin mereka berasa risau kot melihatkan diri saya yang agresif, mereka takut untuk mendekati saya.
"Ataupun mereka menganggap saya ini terlalu garang, maklumlah, bila bekerja maka saya akan lebih serius," selorohnya.
Sementara itu, menceritakan tentang perasaannya mengendalikan Melodi sebagai hos gantian selepas 12 tahun meninggalkan program itu, Ogy berkata dia berasa dirinya kembali ke zaman 90-an.
Kata Ogy, dia gembira apabila mendapat panggilan daripada penerbitnya, Azman Abdul Ghafar untuk mengacarakan Melodi, malah teruja untuk mengacara program yang sudah lama ditinggalkan itu.
"Walaupun hanya hos gantian, satu penghargaan buat saya apabila dapat mengacarakan program yang sudah lama saya tinggalkan.
"Sepatutnya saya kendalikan program itu bersama Zizan, tetapi Zizan tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan.
"Apa-apapun saya berpuas hati dengan persembahan saya hari ini. Malah ketika mengacara, saya terus mengimbas kenangan bersama Melodi dahulu," ujarnya.

- ---
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

 
© Artis Kini All Rights Reserved