Zizan Tidak Mahu Kerja Selepas 12 Malam

on Monday, 25 June 2012

Zizan Razak
KUALA LUMPUR: Pelawak Zizan Razak, 28, menetapkan syarat kepada mana-mana pihak produksi untuk tidak bekerja lebih dari pukul 12 tengah malam kerana faktor kesihatan.
Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak berkata, sekiranya pihak penerbit tidak boleh menerima syarat-syarat itu, dia sanggup menolak tawaran yang diberikan walaupun bayaran yang ditawarkan lumayan.
"Sejak dimasukkan ke hospital akibat keradangan otot pada 29 April lalu, saya menyedari penjagaan kesihatan amat penting.
"Alhamdulillah, sejak keluar daripada hospital, doktor menasihatkan supaya mengehadkan waktu bekerja dan kini, setiap kali menerima tawaran berlakon, saya menetapkan syarat untuk bekerja sehingga pukul 12 tengah malam sahaja.
"Mujurlah setakat ini, tiada produksi yang merungut dan mereka sangat memahami dengan keadaan saya ini," katanya.
Beritahu Zizan, kesibukannya bermula sejak menerima anugerah Pengacara Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2011) pada April lalu.
Atas dasar ingin membalas budi, dia sanggup bekerja keras agar peminat-peminatnya bangga terhadap pencapaian tersebut.
"Anugerah itu sebagai bukti peminat adalah tulang belakang utama dalam setiap kejayaan saya, mereka sanggup berhabis wang untuk mengundi.
"Sebab itu saya bekerja tanpa mengira waktu, selagi ada kudrat, selagi itulah saya bekerja. Tapi lain pula jadinya apabila saya pula yang ‘tumbang’," selorohnya.
Sementara itu, filem lakonan Zizan iaitu Mael Lambong telah pun ditayangkan sejak 21 Jun lalu.
Menurut Zizan, dia tidak sangka jenama 'Mael Lambong' yang direka sendiri ketika menyertai Maharaja Lawak bersama Johan mendapat perhatian daripada pengarahnya, Ahmad Idham.
"Jujur saya katakan, 'Mael Lambong' adalah satu watak rekaan yang sangat saya sayangi, tak sangka pula ia difilemkan terus.
"Bagus juga, kerana saya juga mahu Mael Lambong dijadikan sebuah drama berepisod," tuturnya.
Filem itu mengisahkan tentang Mael Lambong (Zizan), seorang penarik kereta profesional terjebak dengan sebuah komplot apabila bertemu dengan Maria (Juliana Evans) secara tidak sengaja.
Antara pelakon lain yang membintangi filem tersebut ialah Shenty Feziliana, Shuib (Sepah) dan Sabri Yunus.

- ---
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

 
© Artis Kini All Rights Reserved