Tatu : Ustaz Puji Taubat Awi Rafael

on Tuesday, 19 June 2012

Awi Rafael
PETALING JAYA: Dosa penyanyi Awi Rafael, 26, yang melukis tatu pada badannya akan diampunkan oleh Allah sekiranya dia benar-benar bertaubat dan menyesali perbuatannya itu.
Pendakwah bebas, Ustaz Zahazan Mohamed berkata, tindakan Awi yang tidak malu untuk mendedahkan rasa kesalnya secara umum adalah satu perbuatan terpuji dan harus dijadikan contoh oleh semua pihak agar tidak meniru perbuatan bertatu tersebut.
"Bukan mudah untuk seseorang yang dikenali ramai seperti Awi mahu mendedahkan perbuatan bertatu itu secara umum dan Alhamdulillah, sekurang-kurangnya dia cepat sedar dan bertaubat.
"Malah sanggup berkongsi kepada peminat-peminatnya agar tidak mengikuti kelakuan buruknya itu.
"Semoga Allah gugurkan segala keburukan silam dan mengangkat kebaikannya,” kata beliau ketika dihubungi di sini, Selasa.
Ustaz Zahazan
Zahazan menambah, sesungguhnya Allah amat gembira dengan orang yang bertaubat dan kegembiraan itu digambarkan melebihi seorang penggembala yang kehilangan unta di padang pasir lalu menemui semula untanya itu.
Beliau yang juga penceramah jemputan program agama Al-Kuliyah di TV3 menambah, seseorang yang bertatu lalu mahu bertaubat, diharuskan untuk membuang tatu berkenaan dengan menggunakan teknologi yang sedia ada sekiranya tidak mendatangkan kemudaratan.
Bagaimanapun jika ia boleh memudaratkan pada diri dan nyawa, maka perbuatan itu boleh dimaafkan.
"Saya berharap apa yang didedahkan Awi dapat menjadi pengajaran kepada semua, termasuklah artis-artis tempatan yang lain.
"Perlu diingat, apabila kita tidak berhubung dengan Allah, maka kehidupan kita juga diibaratkan seperti sebuah kapal terbang yang tiada radar serta terumbang-ambing," tegasnya.
Pada Jumaat lalu, Awi melakukan tindakan berani dengan membuat pengesahan melalui Facebook beberapa foto lelaki bertatu yang tersebar di Internet adalah dirinya.
Bagaimanapun penyanyi lagu Bila Aku Jatuh Cinta itu berkata, dia sudah bertaubat dan menyesali perbuatan yang dilakukan pada zaman remajanya itu.
"Alhamdulillah, sejak meninggalkan Australia pada awal tahun lalu, saya bertaubat dan benar-benar insaf atas segala perbuatan yang menyalahi hukum dan batasan agama.
"Sebab itu saya pulang ke Malaysia, supaya teman-teman Islam dapat membimbing saya dan pada masa sama dapat mencari rezeki halal," katanya dalam entri Facebook miliknya pada 15 Jun lalu.
Awi turut menjelaskan dia membuat kenyataan itu kerana enggan digelar hipokrit, sebaliknya ingin menjadikan pengalaman tersebut sebagai satu pengajaran agar tidak dicontohi oleh peminat-peminatnya.

- ---
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

 
© Artis Kini All Rights Reserved