Dayang Masih Kekok Guna Telefon Bimbit

on Monday 7 May 2012

Dayang akhirnya akur dengan keperluan teknologi apabila terpaksa memiliki telefon bimbit sendiri sejak setahun yang lalu. - Foto oleh RAYMOND OOI
PETALING JAYA: Penyanyi Dayang Nurfaizah mengakui masih berasa janggal dan tidak begitu merasai kepentingan penggunaan telefon bimbit yang sudah setahun dimilikinya itu.
Pemilik nama sebenar Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 30, yang selama ini tidak mempunyai telefon bimbit akhirnya terpaksa memiliki peralatan itu sejak setahun lalu demi tuntutan kerja.
“Saya hanya gunakan telefon bimbit untuk berkomunikasi dengan pengurus atas urusan kerja sahaja. Saya sering letak telefon itu di merata tempat dan jarang berada di tangan kerana tidak begitu merasai kepentingannya.
“Kadang-kadang, saya boleh keluar rumah tanpa membawa telefon itu bersama sebab sudah terbiasa dengan keadaan itu selama ini,” katanya ketika ditemui di Menara Star, di sini, baru-baru ini.
Kata penyanyi lagu Sayang ini, dia membeli telefon bimbit itu selepas dipujuk berulang kali oleh pengurusnya, Sharina Ahmad bagi melancarkan urusan komunikasi antara mereka.
“Jika sebelum ini, pengurus lama saya Shaliza Kader Sultan sentiasa berada dengan saya hampir 24 jam, jadi saya tidak perlu runsing mengenai jadual kerja dan lain-lain.
“Namun, pengurus baru, Sharina Ahmad tidak semestinya bersama saya pada setiap masa. Atas sebab itu, dia memujuk saya untuk mendapatkan telefon bimbit sendiri bagi melancarkan proses komunikasi.
“Malah, sejak memiliki telefon bimbit kira-kira setahun yang lalu, saya turut memanfaatkannya untuk mengemas kini akaun Twitter dan Facebook dan berinteraksi dengan peminat,” terangnya.
Bercerita mengenai perkembangan kerjaya, Dayang berkata dia bakal mengadakan persembahan dengan penyanyi Anuar Zain pada sebuah konsert amal One Night Only di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 15 Mei ini.
“Sudah lama saya tidak berkongsi pentas dengan Anuar dalam satu persembahan. Kali terakhir adalah pada persembahan di Planet Hollywood, Kuala Lumpur kira-kira lapan tahun lalu.
“Saya berasa seronok kerana selesa bekerjasama dengannya. Selain itu, saya juga akan terlibat sebagai penyanyi undangan pada konsert Datuk D.J Dave di Istana Budaya pada 1 hingga 3 Jun depan,” jelasnya.

- ---
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

 
© Artis Kini All Rights Reserved