Teruja ditawar bintangi Glee

on Tuesday 20 July 2010


NAMA penyanyi ini popular apabila kali pertama dia muncul dalam rancangan The Oprah Winfrey Show pada tahun 2008.

Kehebatan bakal dan vokal yang dimiliki Charice membuatkan Oprah melabelkan Charice sebagai gadis yang paling berbakat di dunia.

Menyampaikan lagu popular Whitney Houston, I Have Nothing, Charice memukau audiens dengan lontaran vokal yang cukup dahsyat.

Bermula pada hari dia muncul dalam rancangan bual bicara Oprah, nama Charice mula meniti di bibir pencinta muzik antarabangsa.

Ramai yang kagum dengan bakat yang dimiliki oleh anak kelahiran Laguna, Filipina ini.

Popularitinya mencanak apabila dia diundang pula oleh penerbit dan komposer handalan dunia, David Foster untuk menyanyi di konsertnya, Hitman: David Foster and Friends.

Pada konsert di Las Vegas, Amerika Syarikat itu, Charice berkongsi pentas dengan nama-nama besar seperti Celine Dion, Josh Groban dan Michael Buble.

Lebih membanggakan, dia sendiri dipilih oleh Dion dan Andrea Bocelli yang kebetulan merupakan idola Charice dalam konsert solo masing-masing sebagai artis undangan.

“Itu pengalaman yang menyeronokkan. Saya tidak pernah menyangka akan menikmati semua ini dalam sekelip mata.

“Dalam hal ini saya perlu berterima kasih kepada ibu saya yang banyak membantu dan bersusah-payah mencari peluang untuk saya.

“Jika bukan keran ibu, tidak mungkin saya akan memiliki apa yang saya kecapi setakat ini,” katanya penuh rendah diri dalam satu temu bual baru-baru ini.

Bakat Charice atau nama sebenarnya, Charmaine Clarice Relucio Pempengco mula dikesan apabila video persembahannya sewaktu menyertai pertandingan Little Big Star tersebar luas di YouTube.

Kehebatannya beraksi dalam pertandingan itu menarik perhatian hos dan pelakon komedi terkenal, Ellen DeGeneres yang kemudiannya menjemput Charice sebagai tetamu undangan untuk The Ellen DeGeneres Show.

Bermula detik itu, Charice tidak lagi menoleh ke belakang. Dia terus memandang ke hadapan dengan penuh optimis.
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

 
© Artis Kini All Rights Reserved