Black Juara Mentor Musim Ke 3 TV3

on Sunday 12 July 2009

SHAH ALAM 12 Julai - Persembahan yang konsisten di samping memiliki bakat yang tersendiri menyakinkan pihak juri dan peminat untuk menobatkan Black, 22, sebagai juara program realiti terbitan TV3, Mentor musim ketiga yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini malam ini.

Sememangnya keputusan itu sudah dijangka oleh ramai pihak berikutan persembahan Black atau nama sebenarnya, Hanifah Md. Hanafiah yang tidak pernah mengecewakan sejak program itu bermula pada 3 Mei lalu.

Dengan jumlah markah keseluruhan sebanyak 75 peratus melayakkan Black membawa pulang hadiah kemenangan berupa wang tunai RM100,000 serta sebuah kereta Kia Spectra 5 manakala mentornya, Mas Idayu pula memenangi RM100,000.

Mentor yang kali pertama diperkenalkan pada tahun 2005 itu menyaksikan Pija sebagai juara pertamanya manakala Fiq pula menggenggam gelaran itu pada musim kedua setahun selepas itu.

Dalam konsert akhir itu, Black telah memberikan persembahan yang cukup menarik menerusi lagu baru ciptaan komposer baru, Yuzai yang berjudul Aku Rindu Sayang Kamu.

Bukan itu sahaja, anak kelahiran Kuala Lumpur itu juga berjaya memukau hadirin apabila berduet dengan Mus dan Shamrin menerusi lagu medley Di Alam Fana Cinta dan Sinar.

Chaq atau nama sebenarnya Camellus De'lelli Anam hanya mampu berpuas hati apabila menyandang gelaran naib juara dengan markah sebanyak 52.8 peratus meskipun mempamerkan persembahan mantap terutama apabila berduet dengan adiknya, Stacy yang merupakan juara Akademi Fantasia keenam (AF6).

Hasilnya, Chaq dan mentornya, Ajai masing-masing membawa pulang wang tunai sebanyak RM30,000.

Sementara itu, peserta paling muda untuk musim ini, Fira, 18, dan mentornya, Lah Ahmad pula terpaksa akur dengan keputusan apabila meraih tempat ketiga dengan jumlah markah keseluruhan 35.6 peratus.


Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

 
© Artis Kini All Rights Reserved