Melodi : Dira Terkejut Gantikan Fara Fauzana?

on Tuesday 15 February 2011

Dira Abu Zahar
PETALING JAYA: Pelakon Dira Abu Zahar terkejut dengan dakwaan kononnya dia akan menggantikan Fara Fauzana sebagai pengacara Melodi dalam waktu terdekat.
Dira berkata, dia tidak dimaklumkan oleh pihak Melodi mengenai perkara itu tetapi hanya mengetahuinya melalui laporan akhbar.
“Saya benar-benar terkejut dengan desas desus yang dilaporkan kononnya saya akan menggantikan Fara Fauzana.
"Memang benar saya pernah menjadi pengacara jemputan Melodi sebelum ini tetapi ia bukanlah kerana saya ingin mengambil alih tempat Fara,” katanya pada Selasa.


Kata Dira, dia dipanggil menjadi pengacara jemputan selama dua kali dalam rancangan hiburan popular itu hanya sekadar untuk memeriahkan suasana semata-mata.
Bagaimanapun, jika perkara itu benar, Dira menganggap peluang tersebut perlu difikirkan semasak-masaknya.
“Jika diberi peluang untuk mengacarakan sebuah rancangan yang popular itu saya tidak fikir tentang terima atau tidak, tetapi saya fikir mampu atau tidak untuk saya memikul tanggungjawab tersebut.
“Sebagai sebuah rancangan yang mempunyai pengikutnya tersendiri yang sudah bertahun-tahun, pasti tanggungjawabnya besar. Saya kena ukur baju di badan sendiri dulu sebelum menerima tawaran itu,” katanya.
Sebelum dikenali sebagai pelakon, Dira telah pernah menjadi pengacara untuk program Beat TV, Pulus Mania dan Jom Ronda. Dia juga pernah menjadi penyampai radio Xfress FM pada tahun 2007.
Sementara itu Penerbit Melodi, Azman Ghaffar yang dihubungi mengakui pihaknya sedang mencari pengacara baru Melodi bagi menggantikan Fara Fauzana dan Wahid kerana ingin memberi nafas baru kepada program hiburan itu.
Azman berkata, ia disebabkan kedua-dua pasangan berkenaan sudah terlalu lama mengemudi rancangan tersebut iaitu selama lima tahun.
Bagaimanapun ujar Azman, desas desus mengatakan Dira dan Zizan Raja lawak akan menjadi pengacara baru rancangan itu adalah tidak benar sama sakali.
“Kami dalam usaha untuk memberi nafas baru kepada program Melodi tetapi buat masa ini pencarian untuk pengacara berkenaan sedang dilakukan.
“Proses berkenaan dilakukan dengan memanggil beberapa artis menjadi pengacara jemputan untuk melihat kesesuaian mereka sebagai pengacara Melodi ataupun tidak,” katanya.
Jelas Azman, bukan mudah mencari pengacara bagi menggantikan Fara dan Wahid kerana kedua mereka mempunyai aura yang kuat untuk rancangan tersebut.
Proses pencarian itu katanya akan berlangsung dalam tahun ini dan jika tiada maslah, berkemungkinan pada awal tahun hadapan penonton akan dapat menyaksikan wajah baru pengacara Melodi.
Azman juga turut menolak dakwaan kononnya Fara dan Wahid mempunyai masalah menyebabkan rating program itu menurun.
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

 
© Artis Kini All Rights Reserved