Budak Melayu Bermata Biru

on Sunday, 15 August 2010



SUNGAI PETANI 23 April - Kampung Teluk Amboi, Pulau Sayak, Kota Kuala Muda dekat sini menjadi tumpuan penduduk sejak beberapa hari lalu gara-gara seorang kanak-kanak lelaki Melayu bermata biru.

Kanak-kanak tersebut, Mohd. Kota Kuala Muda Mohd. Rizal, berusia 1 tahun 4 bulan menjadi tumpuan ramai kerana warna matanya berbeza dengan kebanyakan masyarakat negara ini yang rata-rata hitam atau perang.

Datuk kepada Mohd. Aizat Aiman, Ahmad Mustafa, 62, memberitahu, kejadian pelik itu berlaku selepas beberapa bulan cucunya dilahirkan.

"Semasa dilahirkan, matanya berwarna hitam macam kebanyakan kita. Namun, selepas beberapa bulan ia berubah warna menjadi biru dan berkilauan.

"Kami sekeluarga hairan kerana tidak mempunyai darah kacukan orang barat ataupun Asia Barat," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Ahmad berkata, keluarganya pernah membawa Mohd. Aizat Aiman menjalani pemeriksaan di beberapa hospital di Sungai Petani dan Pulau Pinang.

Namun, katanya, doktor mengesahkan mata Mohd. Aizat Aiman itu tidak mengalami sebarang masalah dan boleh melihat seperti kanak-kanak biasa.

Ditanya tentang kejadian aneh sebelum Mohd. Aizat Aiman dilahirkan, Ahmad berkata, semasa mengandung, ibu kanak-kanak itu, Noraini Ahmad, 31, dikatakan gemar bermain dengan seekor kucing peliharaan mereka yang bermata biru.

"Noraini suka membersihkan mata kucing itu kerana tertarik dengan warnanya yang kebiruan. Orang tua-tua kata, mungkin kejadian mata biru Mohd. Aizat Aiman ada kaitan dengan kenan kucing," ujarnya.

Bekas nelayan itu berkata, Mohd. Aizat Aiman itu juga mungkin mewarisi ciri-ciri bapanya, Mohd. Rizal Mohamad, 34, yang mata kanannya sedikit kebiruan tetapi tidak ketara.

"Noraini dan Mohd. Rizal merupakan insan istimewa kerana mereka berdua bisu dan mempunyai masalah pendengaran. Mereka bekerja sebagai operator kilang di Seberang Perai dan hanya pulang ke kampung dua minggu sekali," katanya.

Tambahnya, dia bagaimanapun berasa bimbang dengan masa depan Mohd. Aizat Aiman yang mungkin mewarisi kecacatan ibu bapanya yang tidak boleh mendengar.

"Doktor memaklumkan bahawa cucu saya ini disyaki mengalami masalah pendengaran dan perlu menjalani pemeriksaan dua bulan sekali di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani," katanya.

Ahmad bagaimanapun berharap, cucunya itu dapat menjalani kehidupan seperti insan normal.

"Dia seorang yang aktif dan sering menarik perhatian ramai kerana ciri anehnya yang bermata biru. Kini, dia juga mula petah bersuara walaupun setakat ini tidak dapat pastikan sama ada dia boleh bercakap atau tidak dalam beberapa tahun lagi. Kami doakan agar dia mempunyai sifat sempurna seperti orang lain," katanya.
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

 
© Artis Kini All Rights Reserved