Artis ugut, pukul isteri

on Wednesday 9 April 2008

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my

AMPANG: Seorang pelakon filem dan drama yang popular sekitar awal 90-an, ditahan polis Sabtu lalu, selepas isterinya membuat laporan mendakwa tidak tahan dipukul secara berterusan oleh artis terbabit.

Malah, pemeriksaan dan hasil ujian air kencing yang dijalankan terhadap pelakon berusia awal 40-an itu turut mendapati dia positif mengambil dadah dipercayai jenis syabu.

Dalam laporannya kepada polis, wanita berkenaan mengadu pelakon terbabit turut mengugut untuk mencederakannya.

Tidak tahan menanggung derita kerana sering dipukul dan bimbang terhadap ugutan dibuat pelakon terbabit, isterinya pasrah menyerahkan suami kepada polis untuk dikenakan tindakan sewajarnya.


Bagi menafikan perbuatannya, pelakon terbabit membuat laporan polis mendakwa dia tidak pernah mengugut isterinya.

Dia sebaliknya mendakwa isterinya sengaja mereka-reka cerita dan membuat laporan polis supaya dia ditahan.

Difahamkan, wanita itu sudah mendapatkan rawatan di hospital dan pemeriksaan mendapati ada beberapa kesan lebam di beberapa bahagian badan akibat dipukul dan ditampar.

Menurut sumber polis, pelakon terbabit ditahan selepas isterinya membuat laporan dia sering dipukul.

“Pelakon terbabit kemungkinan dibebaskan esok (hari ini), namun kami masih menyiasat perkara terbabit (kes pukul)” katanya ketika dihubungi, malam tadi.

Pelakon lelaki terbabit pernah dinobatkan sebagai pelakon lelaki popular pada zaman kemuncaknya, selain pernah menjadi hero remaja.

Malah, difahamkan ketika kariernya berada di kemuncak, banyak kontroversi dikaitkan dengan pelakon berkenaan tidak kira sama ada melalui filem yang dilakonkan atau dalam kehidupan realitinya sendiri.

Filem lakonannya pernah menggemparkan negara apabila dia bersama pelakon wanita pasangannya melakukan aksi panas dan berani dalam satu babak ketika berada di tepi pantai.

Selain itu, dia pernah ditahan pada 1994 atas kesalahan memandu tanpa memiliki lesen sah manakala cukai jalan kereta dipandunya pula sudah tamat tempoh.

Kesalahan dilakukannya itu mengundang padah apabila dia dihukum penjara sehari dan didenda RM1,100 selepas mengaku bersalah atas tuduhan yang dikenakan dan dia tidak dibenarkan memohon lesen memandu selama setahun.

Namun, kontroversi dan kisah panasnya tidak terhenti di situ apabila tidak lama selepas itu, dia ditahan pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Johor (JAJ) kerana disyaki bersekedudukan dan melakukan persetubuhan haram dengan seorang model dan pelakon sambilan.
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

 
© Artis Kini All Rights Reserved