Showing posts with label Zizan Raja Lawak. Show all posts
Showing posts with label Zizan Raja Lawak. Show all posts

Zizan Tidak Mahu Kerja Selepas 12 Malam

on Monday, 25 June 2012

Zizan Razak
KUALA LUMPUR: Pelawak Zizan Razak, 28, menetapkan syarat kepada mana-mana pihak produksi untuk tidak bekerja lebih dari pukul 12 tengah malam kerana faktor kesihatan.
Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak berkata, sekiranya pihak penerbit tidak boleh menerima syarat-syarat itu, dia sanggup menolak tawaran yang diberikan walaupun bayaran yang ditawarkan lumayan.
"Sejak dimasukkan ke hospital akibat keradangan otot pada 29 April lalu, saya menyedari penjagaan kesihatan amat penting.
"Alhamdulillah, sejak keluar daripada hospital, doktor menasihatkan supaya mengehadkan waktu bekerja dan kini, setiap kali menerima tawaran berlakon, saya menetapkan syarat untuk bekerja sehingga pukul 12 tengah malam sahaja.
"Mujurlah setakat ini, tiada produksi yang merungut dan mereka sangat memahami dengan keadaan saya ini," katanya.
Beritahu Zizan, kesibukannya bermula sejak menerima anugerah Pengacara Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2011) pada April lalu.
Atas dasar ingin membalas budi, dia sanggup bekerja keras agar peminat-peminatnya bangga terhadap pencapaian tersebut.
"Anugerah itu sebagai bukti peminat adalah tulang belakang utama dalam setiap kejayaan saya, mereka sanggup berhabis wang untuk mengundi.
"Sebab itu saya bekerja tanpa mengira waktu, selagi ada kudrat, selagi itulah saya bekerja. Tapi lain pula jadinya apabila saya pula yang ‘tumbang’," selorohnya.
Sementara itu, filem lakonan Zizan iaitu Mael Lambong telah pun ditayangkan sejak 21 Jun lalu.
Menurut Zizan, dia tidak sangka jenama 'Mael Lambong' yang direka sendiri ketika menyertai Maharaja Lawak bersama Johan mendapat perhatian daripada pengarahnya, Ahmad Idham.
"Jujur saya katakan, 'Mael Lambong' adalah satu watak rekaan yang sangat saya sayangi, tak sangka pula ia difilemkan terus.
"Bagus juga, kerana saya juga mahu Mael Lambong dijadikan sebuah drama berepisod," tuturnya.
Filem itu mengisahkan tentang Mael Lambong (Zizan), seorang penarik kereta profesional terjebak dengan sebuah komplot apabila bertemu dengan Maria (Juliana Evans) secara tidak sengaja.
Antara pelakon lain yang membintangi filem tersebut ialah Shenty Feziliana, Shuib (Sepah) dan Sabri Yunus.

- ---

Tuduhan Enggan Hadir Promosi Jatuhkan Zizan Razak

on Wednesday, 23 May 2012

Zizan Razak
PETALING JAYA: Pelawak dan pengacara Zizan Razak (Raja Lawak) menyifatkan tuduhan dia sukar memberikan kerjasama bagi menjayakan promosi beberapa buah filem lakonannya adalah cubaan pihak tertentu untuk menjatuhkan kerjayanya.
Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak, 28, berkata dakwaan itu adalah tidak adil kerana dia dan pihak pengurusan tidak pernah melanggar sesuatu perjanjian dan komitmen jika ia sudah diatur dari awal.
“Tidak adil untuk menyalahkan saya semata-mata apabila saya gagal melibatkan diri dalam promosi sesebuah filem. Saya dan pengurusan tidak pernah melanggar perjanjian jika ia sudah dimaklumkan lebih awal.
“Masalahnya, ada syarikat produksi meminta komitmen saya pada saat-saat akhir sedangkan jadual saya bagi tarikh dan waktu tersebut sudah diisi dengan urusan lain. Apabila saya tidak dapat memenuhinya, timbul pula cerita saya sukar memberikan kerjasama,” katanya ketika dihubungi di sini, petang Rabu.
Terbaru, Zizan sekali lagi didakwa enggan terbabit dalam rangka promosi filem Jalan Kembali... Bohsia 2 terbitan Skop Productions kerana sudah terikat dengan penggambaran filem lain.
Ditanya mengenai perkara itu, Zizan berkata dia tidak mendengar apa-apa berhubung dakwaan tersebut.
Namun, dia lebih menghargai jika ada pihak yang tidak berpuas hati agar menyatakan terus kepadanya daripada hanya tahu “cakap belakang”.
“Saya belum mendengar mengenai perkara itu lagi. Setakat ini, saya dan pihak Skop tidak mempunyai sebarang masalah.
“Tidak adil untuk tuduh saya enggan beri kerjasama kerana pada malam tayangan perdana filem itu baru-baru ini, saya sempat singgah walaupun saya mempunyai kerja di luar Kuala Lumpur pada keesokan paginya,” jelas Zizan.
Mengenai perasaannya berhubung isu tersebut, Zizan berkata dia berasa terkilan kerana dipersalahkan sewenang-wenangnya atas masalah yang turut disebabkan oleh pihak lain.
“Saya sudah penat mendengar tuduhan sebegini. Kalau diikutkan hati, memang saya sudah malas hendak. Saya sedar bukan mudah untuk puaskan hati semua pihak tetapi seboleh mungkin saya akan berusaha untuk tidak membuat keputusan dan tindakan yang akan menyusahkan pihak lain,” akuinya.
Bercakap mengenai tahap kesihatannya sejak kembali bekerja selepas dua minggu berehat akibat keradangan otot, Zizan berkata dia bersyukur kerana keadaannya bertambah baik.
“Alhamdulillah keadaan kesihatan saya bertambah baik untuk kembali bekerja seperti biasa. Sebelum ini, saya terlalu memaksa diri bekerja siang dan malam sehingga jatuh sakit.
“Kini, saya belajar untuk lebih menghargai kesihatan diri,” katanya yang bakal memulakan penggambaran filem terbaru Bikers Kental terbitan Tayangan Unggul dalam masa terdekat.

- ---

Diana Amir Cemburukan Hubungan Zizan & Juliana Evans?

on Wednesday, 5 January 2011

Diana Amir
PETALING JAYA: Pelakon Aku Masih Dara, Diana Amir nafi berkecil hati dengan hubungan mesra pasangan pelawak Zizan (Raja Lawak) dan pelakon jelita Juliana Evans.
Dia yang pernah digosipkan bercinta dengan pelawak itu bagaimanapun turut gembira dengan perkembangan hubungan pasangan selebriti tersebut.
“Mana ada saya cemburu atau berkecil hati dengan mereka, bagi saya mereka berdua masih single dan tiada halangan jika mereka mahu bercinta sekalipun.
“Saya dan Zizan dahulu hanya berkawan rapat sahaja tiada hubungan istimewa antara kami, cuma ramai yang salah anggap tentang hubungan kami sahaja,” ujarnya.
Diana juga menganggap kenyataan-kenyataan daripada Zizan kepada media adalah hak peribadinya.
Bagaimanapun, dia memberitahu perkara tersebut tidak menjejaskan hubungan persahabatannya dengan artis itu.

Dalam pada itu, Diana turut menafikan hubungan percintaannya dengan pelawak tersebut mendapat tentangan daripada keluarga Zizan.
“Tentang soal itu kena tanya sendiri dengan Zizan sebab saya tidak tahu. Saya hanya berharap tahun baru ini dapat memulakan sesuatu yang baru untuk hidup saya.
“Yang pasti saya akan lebih berhati-hati untuk bercinta atau bercerita tentang soal peribadi kerana takut disalah anggap,” ujarnya yang sedang dalam penggambaran filem terbaru 3, 2, 1 Cinta.
Zizan dan Juliana Evans di Anugerah Seni Kebangsaan 2010
Bercerita tentang perkembangan kerjaya, Diana memberitahu gembira dengan perkembangan filem Aku Masih Dara yang sudah mencecah kutipan RM2 juta sejak ditayangkan.
“Ini filem pertama saya dan Alhamdulilah mendapat sambutan menggalakkan. Bagi perkembangan lain saya sedang sibuk dengan penggambaran drama bersiri Jangan Pandang Belakang Congkak dan filem 3, 2, 1 Cinta terbitan MIG Production Sdn Bhd,” katanya.
 
© Artis Kini All Rights Reserved