Showing posts with label Shila Amzah. Show all posts
Showing posts with label Shila Amzah. Show all posts

Ibu Shila Amzah Teman Dating

on Wednesday, 13 June 2012

Sharnaaz Ahmad.
SUBANG JAYA: Tindakan Fauziah Sarman atau Kak Zie iaitu ibu kepada penyanyi Shila Amzah yang sering menemani anaknya untuk bertemu dengan pelakon Sharnaaz Ahmad sedikit pun tidak menggagu hubungan pasangan tersebut.
Sharnaaz berkata, dia berasa selesa apabila setiap kali bertemu dengan Shila, ibu wanita berkenaan sering bersama yang secara tidak langsung dapat meningkatkan kepercayaan keluarga terhadap hubungan tersebut.
"Saya tidak pernah rasa terganggu ditemani oleh ibu Shila setiap kali kami ingin keluar malah menganggap kehadiran ibunya cukup menyenangkan.
"Tambahan pula elok juga ada orang yang lebih berusia menemani kami dan sedikit sebanyak ibunya boleh bagi nasihat jika ada benda-benda yang tak manis berlaku semasa kami keluar bersama.
"Macam pernah sekali, saya tanpa sedar telah memegang tangan Shila dan ibunya menegur perbuatan itu dan ia adalah sesuatu yang baik," ujarnya.
Tambah Sharnaaz, dia tidak faham mengapa ada segelintir pihak yang sentiasa memandang serong apabila Shila membawa ibunya ketika bertemu saya.
Dalam pada itu, Sharnaaz memberitahu setakat ini dia belum pernah meminta izin daripada ibu Shila untuk keluar berdua-duaan dengan kekasihnya itu dan juga tidak pernah terfikir mengenainya.
Ia disebabkan dia cukup selesa dengan situasi tersebut serta berasa selesa dengan kehadiran orang yang lebih dewasa dalam hubungan mereka.
Sementara itu, Sharnaaz berkata, dia memang memasang impian untuk memperisterikan Shila dan membina keluarga dengannya suatu hari nanti.
Bagaimanapun perkara itu mungkin akan terjadi dalam masa dua hingga tiga tahun selepas kedudukan kewangannya benar-benar stabil.
"Kahwin bukan perkara mudah dan sebagai lelaki yang akan bertanggungjawab terhadap seorang wanita, saya perlu memastikan semua perkara tersedia untuk kesenangan bersama nanti.
"Tetapi Shila adalah pilihan saya untuk hidup bersama dan membina keluarga dengannya nanti," ujarnya.

- ---

Shila Amzah Labur RM40 Ribu Kerana Album Sendiri

on Monday, 11 June 2012

Shila Amzah
PETALING JAYA: Demi mengukuhkan lagi tapak kerjaya seni nyanyian, penyanyi Shila Amzah berani mengambil risiko dengan melaburkan hampir RM40,000 untuk menerbitkan albumnya sendiri.
Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah berkata kesanggupannya itu disebabkan kerana ingin menguatkan profil kerjaya nyanyiannya selain enggan mengecewakan peminat-peminat yang sudah lama menunggu kemunculan album terbaru.
"Sudah lama saya impikan untuk menerbitkan album sendiri, walaupun tahu hasil jualan album tidaklah banyak mana, namun ia adalah kepuasan buat saya.
"Ia satu pelaburan yang besar untuk penyanyi seperti saya dan dianggarkan untuk sebuah lagu, kosnya lebih daripada RM5,000. Dan sebanyak lapan buah lagu akan dimuatkan pada album berkenaan.
"Bukan itu sahaja, saya juga perlu melaburkan dalam penerbitan klip video serta urusan promosi," katanya.
Tambah Shila, sebagai penyanyi muda yang masih lagi belajar mengenai selok-belok dalam pengurusan perniagaan muzik, albumnya itu akan dibuat secara berperingkat agar mendapat hasil yang berkualiti.
"Pada album itu, saya akan memuatkan lagu-lagu ciptaan sendiri yang sudah lama saya hasilkan, malah sejak dari sekolah menengah lagi.
"Cuma sebelum ini saya kurang keberanian untuk tunjuk kebolehan menghasilkan lagu kepada umum. Dan sejak muncul dengan lagu Patah Seribu, barulah saya yakin untuk merakam lagu-lagu berkenaan," ujarnya.
Sementara itu, memandangkan telefilem lakonannya Patah Seribu mendapat respons positif, Shila berkata, buat masa ini dia ingin memberi fokus pada kerjaya nyanyiannya dahulu.
"Kalau boleh saya tidak mahu mencampuradukkan dua bidang (lakonan dan nyanyian) ini dalam satu masa, kerana sukar untuk memberi fokus.
"Malah ketika penyertaan saya dalam program Mania hampir tiga bulan, pembikinan album saya juga tergendala.
"Jadi biarlah saya fokus dengan nyanyian dahulu. Lagipun bidang lakonan hanyalah sekadar untuk saya mencuba melihat sejauh mana kemampuan diri dalam bidang tersebut.

- ---

Harga Bayaran Persembahan Shila Amzah Sudah Naik

on Tuesday, 5 June 2012


Shila Amzah
PETALING JAYA: Penyanyi Shila Amzah mengakui mula menaikkan harga bayaran untuk dia mengadakan persembahan bermula Februari lalu kerana merasakan sudah tiba masanya dia berbuat demikian.
Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah berkata hal tersebut merupakan perkara biasa bagi seseorang penyanyi di mana harga yang ditetapkan dalam sesebuah persembahan haruslah mengikut pencapaian dalam karier seni masing-masing.
"Memang harga bayaran untuk saya mengadakan sesebuah persembahan dah naik sejak penyertaan saya dalam Anugerah Juara Lagu (AJL) yang berlangsung pada Februari lalu lagi.
"Dan ia merupakan perkara normal bagi setiap penyanyi yang menaikkan harga mereka. Harga petrol pun naik setiap tahun, takkan kami (penyanyi) tidak boleh naikkan harga sedikit?" katanya yang dihubungi di sini, Selasa.
Tambah Shila, dia kecewa apabila ada segelintir pihak menganggap dia tidak boleh berunding dengan harga bayaran yang diberi sedangkan dia sangat terbuka bergantung kepada kemampuan sesebuah syarikat yang ingin menjemputnya mengadakan persembahan.
Malah anak sulung penyanyi ND Lala ini juga sangat fleksibel apabila pihak stesen televisyen, majalah, akhbar atau mana-mana yang membabitkan penganjuran media mengundangnya untuk memenuhi acara yang diaturkan.
"Jika ada orang kata saya naikkan harga bagi acara-acara yang membabitkan stesen televisyen atau media-media lain, ia tidak benar sekali kerana saya terima sahaja apa-apa bayaran yang diberi.
"Dan ada juga persembahan yang saya buat percuma. Harga bayaran bukanlah satu isu, lebih-lebih lagi yang membabitkan untuk kebajikan amal. Saya harap dengan penjelasan ini, semua akan faham," ujarnya.
Bagaimanapun, penyanyi lagu Patah Seribu itu risau apabila banyak syarikat besar ‘menjual’ nama media bagi tujuan untuk mendapatkan harga murah daripada penyanyi-penyanyi yang diinginkan, termasuklah dirinya sendiri.
Sementara itu, mengenai perkembangan terbaru, dia bersyukur kerana sejak menyertai pertandingan Mania (saluran Astro), peminat-peminatnya semakin bertambah termasuklah daripada negara Indonesia.
"Walaupun tidak sampai ke peringkat akhir, saya bersyukur Mania telah memberi peluang besar untuk saya lebih-lebih lagi apabila Ahmad Dhani turut terbabit dalam pertandingan ini.
"Dia (Dhani) telah memberikan platform kepada saya untuk mengembangkan karier nyanyian di Indonesia dan setakat ini kami masih lagi dalam perbincangan sama ada saya akan menjadi artis di bawah naungannya iaitu, Republik Cinta Management (RCM) atau tidak," tuturnya.

- ---

Shila, Sharnaaz saling melengkapi

on Monday, 13 February 2012


Shila, Sharnaaz
Hangat bercinta! Itulah perkataan paling tepat bagi menggambarkan situasi antara penyanyi remaja, Shila Amzah dan pelakon kacak, Sharnaaz Ahmad ketika ini.

Jika dahulu, status pasangan sama cantik sama padan ini cuma sekadar teman biasa, kini gelaran itu sudah berubah kepada kekasih hati.

Tiada apa perlu dirahsiakan, penampilan mesra mereka tatkala muncul di karpet biru di Anugerah Juara Lagu (AJL) 26 lalu, menjawab segala-galanya.

Malah, sewaktu pelancaran program terbaru terbitan TV9, 9X, Khamis lalu, kelibat si dara turut diiringi sang teruna yang setia menemani.

Tidak keberatan duduk bersama dan berkongsi kisah percintaan mereka, gelagat pasangan ini ketika ditemu bual sungguh mencuit hati.

Sharnaaz sememangnya dikenali dengan sikap kelakarnya tidak henti-henti mengusik Shila sehingga merah padam muka anak gadis ND Lala itu.

Sementara, Shila pula semakin fasih berbicara dalam loghat utara lantaran terpengaruh percakapan si buah hati yang berasal dari Pulau Pinang.


Mengakui mula rapat sejak empat bulan lalu, menurut Sharnaaz, keserasian antara mereka tercipta kerana sikap masing-masing yang gila-gila.

“Daripada awal perkenalan, kami sudah menunjukkan perangai sebenar tanpa perlu berselindung.

“Saya senang berkawan dengan dia kerana kami banyak persamaan dan Shila umpama refleks kepada saya,” katanya yang turut tertambat dengan kepakaran Shila memasak.

Shila berkata, pada mulanya dia tidak berapa suka Sharnaaz kerana menganggap jejaka itu ‘poyo’.

“Pertama kali berjumpanya di penggambaran sebuah majalah, saya tidak suka perangainya. Selepas itu kalau terserempak, kami hanya bertegur sapa seperti biasa.

“Sehinggalah suatu hari saya menangis kerana menyaksikan lakonannya dalam drama Ungunya Cinta. Terus saya menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Sharnaaz untuk memberitahu hal itu,” katanya.

Sejak itu mereka mula berkawan rapat, lebih-lebih lagi Sharnaaz turut terlibat klip video lagu hit Shila, Patah Seribu.

“Jika ditanya sebelum ini, jawapan kami memang cuma berkawan. Apabila sudah bercinta, kami bersetuju tidak menyorokkannya.

“Bukan hendak menunjuk-nunjuk, tetapi kami hanya mahu kelihatan normal seperti pasangan bercinta lain dan supaya tiada lagi spekulasi timbul,” kata Shila yang tertarik dengan ketulusan Sharnaaz.

Sepakat merahsiakan tarikh rasmi percintaan mereka, kedua-duanya cuma memberi gambaran peristiwa bersejarah itu berlaku sebelum AJL lalu.


Dapat restu keluarga
Hubungan merpati dua sejoli ini juga sudah diketahui keluarga dua belah pihak yang tidak menghalang percintaan mereka.
Menurut Sharnaaz, dia selesa dengan ahli keluarga Shila yang boleh menerima dirinya dengan baik.
Bercerita mengenai langkah seterusnya dalam hubungan ini, kata Sharnaaz, mereka sudah berbincang soal masa depan, tetapi belum ke arah perkahwinan,” katanya.

Shila Amzah Akui Janggal Dipanggil 'Nabella'

on Tuesday, 27 December 2011


PETALING JAYA: Penyanyi Shila Amzah (gambar)yang kini bergelar pelakon tidak selesa dipanggil Nabella selepas muncul dalam telefilem Patah Seribu arahan Michael Ang.
Menurut Shila, pengalaman tersebut menyeronokkan tetapi cabaran terbesar apabila dia terpaksa menjadi orang lain melalui watak Nabella.
“Biasanya orang memanggil saya dengan nama Shila, jadi saya rasa janggal apabila dipanggil Nabella.
"Bagaimanapun, Michael dan hero telefilem ini iaitu Sharnaaz Ahmad tidak lokek untuk memberi tunjuk ajar kepada saya memandangkan saya baru pertama kali berlakon.

“Saya juga rasa seronok kerana dapat menyesuaikan keadaan dengan krew produksi yang sama membikin penggambaran muzik video lagu Patah Seribu sebelum ini,” katanya ketika dihubungi mStar Online.
Kata Shila, telefilem yang turut dilakonkan oleh Amar Baharin, Sharifah Shahora, Jasmin Hamid dan Mahmud Ali Bashah itu dijangka akan disiarkan pada Februari 2012.
“Saya memang meminati bidang lakonan cuma sebelum ini saya tidak mempunyai kesempatan untuk mencubanya.
“Saya anggap tawaran untuk berlakon dalam telefilem ini sebagai takdir memandangkan Michael juga telah bertungkus-lumus membuat muzik video saya dan merasakan jalan ceritanya agak menarik.
“Sebab utama saya memilih untuk berlakon juga kerana telefilem ini menggunakan tajuk lagu nyanyian dan ciptaan saya serta berlandaskan kepada jalan cerita dalam lagu itu.
"Lagu Patah Seribu turut dipilih sebagai lagu tema,” ujarnya.
Tambah Shila lagi: “Ramai peminat yang tidak sabar untuk menonton lakonan saya dan saya menganggap telefilem Patah Seribu sebagai hadiah untuk mereka pada 2012 nanti.”
Shila tidak menolak sekiranya ditawarkan untuk berlakon lagi selepas ini sekiranya ada watak yang sesuai.
“Buat masa sekarang, saya mahu tumpukan pada nyanyian dan pada tahun depan saya mempunyai banyak perancangan untuk nyanyian,” katanya yang akan melancarkan muzik videonya serentak dengan telefilem tersebut kelak.
Bagaimanapun, peminat sudah boleh menonton muzik video itu di YouTube.
Menyentuh tentang hubungannya dengan heronya dalam Patah Seribu iaitu Sharnaaz Ahmad, Shila akui mereka masih berkawan tetapi hubungan itu sudah melebihi dari kawan.
“Hubungan kami sudah melepasi lebih dari kawan tetapi bukan kekasih. Saya mengenalinya sudah lebih setahun dan mula rapat sejak Anugerah Skrin 2011,” katanya menjawab spekulasi hubungannya dengan Sharnaaz yang dikatakan sedang hangat bercinta.
 
© Artis Kini All Rights Reserved