Showing posts with label Remy Ishak. Show all posts
Showing posts with label Remy Ishak. Show all posts

'Saya Belum Jatuh' - Remy Ishak

on Monday, 16 July 2012

Remy Ishak
PETALING JAYA: Pelakon Remy Ishak menolak andaian kononnya dia sedang mengalami fasa kejatuhan sehingga menyebabkan filem lakonannya iaitu Aku, Kau dan Dia yang ditayangkan pada 28 Jun lalu gagal mendapat sambutan penonton.
Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, 30, berkata, gosip negatif yang melandanya sejak kebelakangan ini bukan menjadi punca sesebuah karya itu merudum sebaliknya ia adalah trend yang sedang melanda industri perfileman negara ketika ini.
“Saya belum jatuh. Sambutan yang kurang terhadap filem bukan hanya berlaku terhjadap filem lakonan saya tetapi filem-filem lain juga pada tahun ini,” katanya  di sini, Isnin.
Remy diminta mengulas khabar angin kononnya peminat sudah tidak teruja dengan kehadirannya berikutan pelbagai gosip buruk melanda dia sejak kebelakangan ini sehingga memberi kesan terhadap kutipan filem Aku, Kau dan Dia.
Mengikut rekod yang dicatatkan Finas sehingga 9 Julai lalu, filem berkenaan mencatat kutipan kasar sebanyak RM150,000.
Remy berkata, sejak awal tahun ini, tidak banyak filem yang ditayangkan mencatatkan kutipan tinggi.
Katanya, faktor kejatuhan seperti yang diperkatakan itu adalah tidak benar sama sekali kerana sehingga kini dia masih mendapat banyak tawaran berlakon.
“Saya tidak merasakan yang saya sedang berada pada zaman kejatuhan tetapi kutipan yang tidak menggalakkan itu adalah berpunca daripada sebab-sebab lain,” katanya.
Tambah Remy, kebanyakan syarikat produksi juga sukar untuk membuat ramalan apakah genre yang diminati oleh orang ramai agar filem yang dihasilkan itu mencapai kutipanboxoffice.
Sementara itu ditanya adakah dia bakal kehilangan peminat berikutan percintaannya dengan Tiz Zaqyah, Remy memberitahu dia tidak melihat perkara itu sebagai satu masalah besar.
“Peminat sudah boleh terima kisah cinta seseorang artis itu dan setakat ini ramai yang memberi sokongan. Apa yang penting kami tidak menyembunyikan hubungan kami,” katanya.

- ---

Remy Ishak Tersinggung Tuduhan Pukul Tiz Zaqyah

on Wednesday, 4 July 2012

Tiz Zaqyah (kiri) masih menjadi kekasih Remy Ishak.
KUALA LUMPUR: Pelakon Remy Ishak melahirkan rasa sedih dan tersinggung dengan tuduhan terbaru kononnya dia bersikap panas baran sehingga telah memukul kekasihnya pelakon Tiz Zaqyah, 24.
Remy, 30, berkata, tuduhan itu benar-benar membuatkannya kecil hati kerana ia telah memberi gambaran buruk mengenai sikapnya yang sebelum ini pernah dikaitkan dengan insiden serupa.
“Saya tidak pernah bersikap kasar kepada Tiz. Itu semua tidak benar. Saya agak sedih dan kecil hati apabila ada pihak yang membuat tuduhan itu. Tetapi saya sabar kerana saya tahu, sebagai artis, macam-macam usikan yang akan saya terima.
“Tuduhan ini saya anggap sebagai “tuduhan nakal”. Saya kuat untuk menempuh semua ujian-ujian itu,” katanya  selepas previu filem 29 Februari untuk editor-editor hiburan di Pavillion di sini, Rabu.
Remy diminta mengulas tuduhan terbaru kononnya dia bersikap kasar terhadap Tiz yang kononnya tidak memberi perhatian terhadap Remy. Hubungan mereka juga dilaporkan sudah musnah.
Mengulas mengenai dakwaan itu Remy berkata, dia tidak gemar untuk bercakap mengenainya kerana bimbang banyak persepsi negatif yang akan dibangkitkan oleh orang ramai.
Malah dia sebaliknya tidak keberatan untuk memberitahu hubungannya dengan Tiz masih lagi berjalan dengan baik tanpa sebarang masalah.
“Dakwaan mengatakan kami sudah putus hubungan itu pun tidak benar. Kami masih lagi berkawan macam biasa. Tapi saya tak nafikan, adat orang bercinta mestilah ada juga masalah-masalah kecil yang berlaku,” katanya.
Dalam pada itu kata Remy, isu berkenaan timbul apabila dia telah menulis satu luahan menerusi Twitter miliknya sehingga ada pihak yang salah membuat tafsiran terhadap maksud luahan tersebut.
Katanya, ia ditulis ketika fikirannya berada dalam berkecamuk dan mengakui agak menyesal dengan sikap tersebut.
“Masa saya tulis itu, saya mungkin stres. Jadi, macam-macam ayatlah yang keluar tetapi saya tidak bermaksud apa-apa. Mungkin orang yang salah tafsir. Apa-apa pun selepas ini saya akan lebih berhati-hari lagi untuk menulis sesuatu,” katanya.
Sementara itu mengani tiga buah lagu nyanyiannya menerusi filem 29 Februari Remy berkata, ia mengambil masa empat hari untuk dirakamkan dan tidak menghadapi masalah ketika proses berkenaan.
Malah pelakon ini juga turut berterima kasih kepada Edry Abdul Halim kerana memberi peluang tersebut yang disifatkan sebagai sesuatu yang amat istimewa.
“Saya berharap peminat akan menyukai lagu nyanyian saya itu,” katanya.
Filem 29 Februari bakal menemui penonton pada 30 Ogos depan.

- ---

Remy Ishak Masuk Wad Kerana Jangkitan Paru-Paru

on Thursday, 14 June 2012

Remy Ishak. Foto ONG SOON HIN
PETALING JAYA:Gara-gara kurang rehat serta tidak cukup tidur, pelakon Remy Ishak, 30, menerima nasib malang apabila paru-parunya dijangkiti virus atau pneumonia sehingga terpaksa di tahan di Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang dekat sini.
Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak berkata, hal tersebut membuatkan dia terpaksa ditahan di hospital berkenaan sejak Isnin lalu dan perlu mendapatkan pemantauan daripada pihak doktor setiap masa.
"Saya perlu membuat pemeriksaan secara terperinci dan berehat secukupnya sebelum dibenarkan pulang.
"Mujur saya buat pemeriksaan doktor apabila berasa tidak sedap badan. Penyakit ini menyedarkan saya, sesibuk mana sekalipun, saya perlu meluangkan sedikit masa untuk berehat.
"Doktor kata, ini semua berpunca daripada tidak cukup tidur, kurang rehat dan terlalu bekerja keras sehingga membuatkan antibodi saya menjadi lemah," katanya yang dihubungi di sini, Khamis.
Pneumonia merupakan penyakit yang disebabkan jangkitan virus, kuman atau bakteria ke bahagian paru-paru dan seseorang akan mengalami simptom-simptom seperti batuk serta selesema sebelum ia merebak ke dalam sistem pernafasan dan seterusnya menyerang paru-paru.
Bagaimanapun tambah Remy, penyakit itu perlu dirawat secepat mungkin bagi mengelakkan menjadi lebih serius yang mungkin boleh meragut nyawa jika dibiarkan.
"Ini satu pengajaran buat saya dan ingin menasihatkan kepada semua supaya jagalah kesihatan sebaik mungkin. Terlalu kuat bekerja membuatkan kita lebih mudah untuk dapat penyakit.
"Saya tidak kesal dengan apa yang telah berlaku pada diri ini kerana ia sebenarnya memberi peringatan kepada saya supaya menjaga diri dengan baik," ujarnya.
Beritahu Remy lagi, dia juga sedikit ralat apabila gagal hadir ke pelancaran filem Aku,Kau dan Dia yang diadakan pada Rabu lalu serta beberapa promosi filem Jiwa Taiko sepanjang tempoh ditahan dalam wad.
Sementara itu, ditanya mengenai status Twitter Remy yang merajuk apabila tidak diberi perhatian oleh kekasihnya, Tiz Zaqyah,ketika dia terlantar sakit, pelakon itu enggan memberi komen tentang hal berkenaan.
"Tak ada apa yang perlu dinyatakan tentang hal itu, saya tak mahu komen," ujarnya.

- ---

Remy Ishak Tidak Bimbang Kecederaan Di Dahi

on Saturday, 12 May 2012

Remy Ishak
PETALING JAYA: Aktor Remy Ishak berkata dia tidak berasa bimbang atau mengambil serius kecederaan di bahagian dahi yang dialaminya ketika penggambaran filem Bravo 5 pada malam Jumaat.
Remy atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak, 30, berkata, ia bukan alasan untuk membatalkan komitmen kerja walaupun luka itu kelihatan dalam akibat tujahan senapang ketika babak kejar-mengejar yang dirakamkan di Tapah, Perak itu.
“Ramai yang kata luka pada dahi saya agak serius dan dalam tetapi saya tidak mahu ia menjadi alasan untuk tangguhkan penggambaran dan kerja lain.
"Saya tidak bimbang dan tiada apa yang serius. Selepas ia berlaku, kami berehat kira-kira 10 minit untuk menghentikan pendarahan dan hanya menampal dengan plaster sebelum menyambung penggambaran,” katanya ketika dihubungi di sini, Sabtu.
Bercerita mengenai kejadian itu, Remy berkata ia berlaku kerana kesilapan pengaturan masa(timing) ketika penggambaran babak yang membabitkannya dan Beto Kusyairy.
“Perkara sudah hendak jadi, saya tidak salahkan sesiapa pun. Kami pun tidak sangka ia berlaku kerana ketika sesi latihan, semuanya berjalan dengan lancar.
“Ia berlaku kerana kesilapan pengaturan masa di mana, muncung senapang Beto telah tercucuk ke arah dahi saya secara tidak sengaja,” hurainya.
Kecederaan pada dahi Remy ketika menjalani penggambaran filem Bravo 5 di Tapah, Perak, malam Jumaat.
Bagaimanapun, kata Remy, demi filem itu dia sanggup menggagahkan diri dan meneruskan penggambaran sehingga selesai.
“Saya tidak mahu batalkan penggambaran kerana ia akan membabitkan banyak pihak. Kebetulan pula, babak itu adalah yang terakhir untuk penggambaran bagi hari itu (Jumaat).
“Hanya selepas semuanya selesai kira-kira pada pukul 2 pagi, baru saya mendapatkan rawatan di hospital askar di sana tetapi masih tidak dapat melakukan jahitan kerana ketiadaan pakar,” katanya.
Ujar Remy, walaupun luka itu belum dijahit dia tetap menghadiri sebuah program konvoi bermotosikal pada pagi Sabtu dan hanya mendapatkan rawatan susulan pada sebelah petang.
“Saya terpaksa tangguhkan rawatan kerana temu janji dengan doktor hanya akan berlangsung pada sebelah petang (petang Sabtu).
"Malah, saya sempat menyertai program konvoi bersama Dira Abu Zahar & Red Garage pagi tadi. Saya akan ke hospital pakar di Kuala Lumpur pada petang ini untuk mendapatkan rawatan lengkap,” ceritanya.
Bravo 5 yang diarahkan Yeop Hitler itu berkisar mengenai perjuangan askar Melayu dalam menentang kemaraan Komunis.
Filem epik peperangan itu dijangka menamatkan penggambaran dalam masa terdekat.

- ---

Remy-Tiz mula pegang-pegang

on Saturday, 23 October 2010


KELIBAT Remy dan Tiz berpegang-pegang dilihat umum ketika mereka sama-sama menyaksikan acara Moto GP yang diadakan di Sepang pada 10 Oktober lalu. Berkasihankah mereka?


BERGANDINGAN di televisyen sudah, di filem pun sudah. Nampak keserasian dan jelas ikatan kimia itu sudah terjalin dengan baik. Tapi ini bukan hal bergandingan dalam naskhah drama Nur Kasih atau produksi lain, ada sumber yang mendakwa terserempak Remy Ishak dan Tiz Zaqyah bergandingan tangan ketika menyaksikan acara MotoGP pada tanggal 10.10.10 baru-baru ini.
Sudah adat mata melihat pastilah ingin menyaksikan pemandangan yang indah. Menurut sumber Diva, sedang dia asyik memerhatikan awek-awek yang menarik di sekitar acara Moto GP, dia terpandangkan seorang gadis putih gebu berpegangan tangan dengan seorang lelaki perkasa. Bila ditilik-tilik, rupanya dia kenal benar dengan dua jasad yang berada di depannya.


Terus dia terimbaskan kembali ikatan kasih sayang Remy Ishak dan Tiz Zaqyah dalam kisah Nur Kasih. Tidaklah dapat dipastikan sama ada mereka berdua ini sudah mendapat nur untuk membina perhubungan cinta. Tetapi kata sumber Diva, aksi berpegangan tangan mereka sudah jelas menunjukkan mereka seperti berada dalam sebuah perhubungan yang suci.
Setahu Diva, Tiz dan Remy memang sudah bersahabat baik sejak sama-sama menjadi tunjang drama berkenaan, lantas persahabatan itu terbawa hinggalah ke luar lokasi dan selalulah mereka bertanyakan khabar jika jarang bertemu.
Mata Diva masih lagi nampak mereka sebagai teman baik. Tetapi apabila diberitakan tentang acara berpegangan tangan di bawah sinaran cuaca matahari yang terik Ahad lalu, tak mustahil juga, itu kata hati Diva. Tak salah pun kalau mereka ini mahu berkasihan kerana masing-masing tidak ada komitmen. Tetapi nasihat Diva, kalau benar mereka bercinta janganlah berahsia. Takut pelbagai cerita keluar nanti.
Sebelum ini Remy pernah dikaitkan dengan beberapa wanita dan Tiz pula pernah menempa kontroversi dengan kekasih orang, jadi Diva tidak mahu nama mereka kembali keruh.
 
© Artis Kini All Rights Reserved